2. Kumpulan ini juga menegaskan bahawa hukum ini terpakai walaupun pertembungan
berlaku di antara calon muslim yang jahat dengan calon non muslim yang baik.
Kayu ukur mereka adalah agama, walaupun seseorang itu jahat dan zalim tetapi
jika beragama Islam maka kita wajib undi dan sokong kerana lebih ‘afdhal’
berbanding non muslim yang baik tadi. Selain itu mereka menganggap dengan
mengundi non muslim sehingga menyebabkan menang, ini membawa kepada wilayah
(kekuasaan) non muslim ke atas orang-orang Islam.
3. Mereka menyandarkan hukum ini kepada beberapa dalil ayat
al-Qur’an, antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 141:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
Maksudnya:
Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk
membinasakan orang-orang yang beriman.
4. Seringkali juga mereka bersandarkan firman Alah Azza wa
Jalla dalam surah Ali Imran ayat 28:
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ
دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَنْ يَفْعَلْ
ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ
إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ
Maksudnya:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman
rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan
yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang
ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).
5. Juga firman Allah SWT yang mempunyai sighah yang
sama dalam surah al-Nisaa’ ayat 144:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ
أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ
ۚ
Maksudnya: Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi
teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.
TELITI
DALAM ISTINBAT
6. Ayat-ayat ini secara
zahirnya melarang kita daripada mengambil non muslim sebagai kawan, penolong,
dan termasuk juga calon untuk diundi hingga menjadi ketua yang mempunyai kuasa.
Namun istinbat hukum haram mengundi calon non muslim
menerusi ayat ini memerlukan ketelitian dan penguasaan ilmu Usul al-Feqh. Ini kerana
tidak semua teks ayat al-Qur’an boleh kita bergantung kepada zahirnya sahaja,
bahkan terdapat ayat-ayat al-Qur’an pada dalalah (pendalilan) hukumnya adalah
mu’allalah (bersebab). Selain adakah ia bersifat mutlak kepada
semua non muslim atau muqaiyyad (terikat) untuk sebahagian daripada
mereka sahaja? Seterusnya adakah kita telah kumpulkan semua ayat al-Qur’an yang
berkaitan dengan non muslim sehingga kita boleh buat kesimpulan dan istinbat
hukum haram?
7. Mungkin kumpulan tadi terlupa atau tidak bertemu dengan
firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
لَا
يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ
الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ
وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ
أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا
إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ
الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ
فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ
مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا
عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ
ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ
الظَّالِمُونَ.
Maksudnya:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada
menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk
mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim.
8. Menerusi ayat ini,
Allah Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim kepada dua kumpulan; pertama
adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak memerangi dan mengusir muslimin
dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua adalah yang memusuhi, ,memerangi
dan mengeluarkan orang-orang Islam dari rumah-rumah mereka. Kumpulan ini
seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan menghalau nabi SAW dan umat
Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh berkawan dan mengundi mereka. Adapun
kumpulan yang pertama, kita tidak dilarang untuk berkawan dan mengundi mereka
berdasarkan dalalatu al-nas yang tidak perlukan sebarang ta’wil.
Maka ayat ini telah mengikat (qayd) mutlaknya ayat-ayat yang digunakan
oleh kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim.
9. Di
samping itu, ayat yang melarang kita mengambil non muslim sebagai kawan rapat
serta penolong, illah (sebab) nya bukan semata-mata kufurnya mereka
kepada Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 1:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ
وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ
مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَنْ تُؤْمِنُوا
بِاللَّهِ رَبِّكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman
rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab hubungan baik dan
kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur
ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah
mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu disebabkan kamu
beriman kepada Allah Tuhan kamu.
10. Ayat
ini telah menafsirkan ayat-ayat yang awal di atas, bahawa larangan Allah Azza wa
Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan penolong bukan hanya kerana
tidak berimannya mereka, tetapi juga bergabung dengan illah (sebab) lain
iaitu menghalau dan mengusir nabi SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka
tanpa hak. Oleh itu, jika seorang non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah
(sebab) kedua iaitu menghalau, maka tiada larangan.
11. Ini
lebih jelas lagi dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 22:
لَا تَجِدُ قَوْمًا
يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya:
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan
rasulNya,
12. Daripada ayat ini menunjukkan
bahawa larangan berkawan dan menyokong non muslim adalah bagi yang menentang Islam.
Maka mafhumnya adalah sebaliknya iaitu tiada larangan bagi non muslim yang
tidak menentang Islam. Persoalannya ialah bagaimana pula dengan calon muslim
yang terang-terang menentang, mempersenda dan menolak Islam menerusi ucapan dan
tulisan meraka?
13. Mengetahui perbahasan
ayat-ayat di atas menjadikan kita faham dan memperhalusi maksud muwalat (penguasaan)
non muslim yang sebenarnya dilarang oleh Islam. Dengan kefahaman tersebut kita
terhindar daripada kesilapan memetik dan istinbat hukum hanya kerana baru
berjumpa dengan satu ayat al-Qur’an yang belum tentu dalalah
(pendalilan) nya qat’ie (putus dan pasti). Ia keliru dan mengelirukan!
14. Calon
yang menang dalam pilihanraya nanti bakal menjadi seorang wakil rakyat bukannya
khalifah, Imam atau ketua negara. Itu pun bukannya wakil kepada kesemua rakyat
tetapi hanya mewakili satu juzu’ daripada jumlah rakyat di seluruh negara
(kerusi Parlimen) atau negeri (kerusi DUN). Al-Qaradhawi menjelaskan:
Sesungguhnya al-niyabah
(perwakilan) ini merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan
tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan)
yang hadith melarang bersungguh-sungguh atau memintanya. Seorang wakil (rakyat)
bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia mewakili kawasannya dalam dewan
yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu,
dia menegur bukannya yang ditegur. (al-Qaradhawi: Min Fiqh al-Daulah fi
al-Islam, Dar al-Syuruq, hlmn 194)
KUASA
TERHAD
15. Kuasa seorang wakil
rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan
undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi ingin menyentuh sebarang
urusan yang berkaitan dengan agama Islam, perlu melepasi dan mendapat perkenan
Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Majlis Raja-raja. Tambahan pula
jumlah non muslim tidak majoriti dalam DUN atau Parlimen. Dan pasti wakil-wakil
rakyat muslim akan bersuara dan berperanan mempertahankan. Melainkan jika
mereka hanya datang untuk tunjuk muka kepada ‘bos’ serta klim tambang hadir
persidangan semata-mata!
16. Tidak
mempunyai kuasa penuh dan terhad ini yang menyebabkan al-Mawardi (450H)
membenarkan ahli al-Zimmah boleh dilantik menjadi menteri yang hanya bersifat
membantu melaksanakan dan melicinkan kerja seorang ketua negara. Kata
al-Mawardi:
Harus
seorang menteri (tanfiz) itu daripada ahli a-Zimmah meskipun dia tidak boleh memegang
jawatan menteri tafwidh (mendapat kuasa). Perbezaan di antara kedua-dua
kementerian ini berdasarkan perbezaan dua kuasa, yang demikian itu dari empat
aspek; salah satunya ialah menteri tafwidh berkuasa untuk menentukan hukum dan
menghapuskan kezaliman, sedang ini tiada pada menteri tanfiz. (al-Mawardi:
al-Ahkam al-Sultaniyah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, hlmn 28)
17. Menurut
al-Mawardi, menteri tanfiz (pelaksana) bidang kuasanya tertakluk kepada
arahan imam (ketua negara). Ini berbeza dengan menteri tafwidh yang
mendapat kuasa penuh untuk melakukan sebarang tindakan berdasarkan kehendak dan
pendapatnya. Abu Ya’la al-Farra’ (458H) juga menyokong pendapat ini, iaitu dalam
hal tiada kuasa penuh bahkan terbatas dan terhad, katanya:
Dan al-Kharqi menyebut sesuatu yang menunjukkan
bahawa harus seorang menteri tanfiz itu dalam kalangan ahli al-Zimmah, kerana
dia membenarkan pemberian satu juzu’ daripada zakat kepada mereka jika mereka
menjadi amil, lalu diberikan kepada mereka hak ke atas kerja mereka. Ini menunjukkan
hukum harus perlantikan mereka. (Abu Ya’la:
al-Ahkam al-Sultaniyah)
18. Hal ini tidak
bercanggah dengan pendapat Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang tidak
membenarkan ahli al-Zimmah memegang jawatan menteri. Kerana yang dimaksudkan
oleh al-Juwaini adalah menteri yang mempunyai kuasa penuh dan bebas dalam
bertindak, serta berkaitan dengan syarat periwayatan dan persaksian, kerana
wakil rakyat di Malaysia
tidak begitu sifatnya. Al-Juwaini menyatakan:
Sesungguhnya kepercayaan perlu untuk dijaga, seorang zimmi itu tidak boleh
dipercayai dalam perbuatan dan kata-katanya, begitu juga gerak-gerinya.
Periwayatannya ditolak, demikian juga dengan persaksiannya ke atas orang-orang
Islam, jadi bagaimanakah diterima kata-katanya pada perkara yang bakal menjadi
sandaran dan rujukan imam (ketua negara) orang-orang Islam. (al-Juwaini: Ghiyath al-Umam fi al-Tiath al-Dzulam, Dar al-Dakwah,
hlmn 114)
19. Ini dalam hal melantik menteri, adapun wakil rakyat ia lebih
rendah darjatnya dan tidak sepenting jawatan menteri. Keadaan dan sistem yang
berbeza juga menyebabkan kita perlu menilai dan meneliti setiap perbezaan
ungkapan para ulama’. Yang salah bukan pandangan mereka, tetapi kita yang
sering silap menggunakan secara pukul rata untuk semua perkara sedangkan
konteksnya berbeza. Sistem pentadbiran negara Malaysia yang berasaskan demokrasi
berperlembagaan tidak sama dengan sistem khalifah pada kurun-kurun awal Islam. Walaupun
berkongsi istilah seumpama menteri dan kementerian, namun ia belum tentu sama
pada perlaksanaannya.
20. Selepas tiada teks dalil yang qat’ie (putus dan
pasti) melarang daripada mengundi calon non muslim dalam PRU, maka masolih
mursalah menjadi sandaran kepada keharusan hukum mengundi mereka. Ini
kerana kita tidak boleh menafikan kewujudan mereka di Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus
daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Mereka akan mewakili
suara non muslim di dalam sidang DUN atau Parlimen. Maka maslahat dan
kepentingan wujud di sini untuk didengar pandangan serta tuntutan mereka guna
memelihara hak mereka yang dijamin oleh Islam sebagai kumpulan minoriti.
21. Jangan kerana
ingin menang mudah dalam PRU dan menafikan hak orang lain, dengan senang kita
meletakkan hukum haram mengundi calon non muslim. Tindakan ini bakal mematikan
keanjalan dan kesyumulan syari’at Islam sebagaimana para sahabat yang telah
menyebabkan kematian sahabat mereka sehingga ditegur oleh nabi SAW kerana
kesilapan memberi fatwa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA katanya:
أَصَابَ رَجُلًا جُرْحٌ
في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه
وسلم ثُمَّ احْتَلَمَ فَأُمِرَ
بِالِاغْتِسَالِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَبَلَغَ ذلك رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال قَتَلُوهُ قَتَلَهُمْ الله أَلَمْ يَكُنْ
شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالَ
Maksudnya: Seorang lelaki cedera pada zaman nabi SAW, kemudian bermimpi,
disuruh kepadanya mandi, lalu dia pun mandi dan meninggal dunia. Kisah itu
sampai ke pengetahuan nabi SAW lalu nabi bersabda: mereka telah membunuhnya,
Allah akan membunuh mereka. Bukankah ubat bagi orang yang tidak tahu adalah
bertanya. (Riwayat Abu Daud)
22. Kesimpulannya, tiada dalil qat’ie yang melarang untuk
mengundi calon non muslim dalam PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah
syar’iyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar
maslahat kumpulan minoriti. Wallahu a’lam.
Anhar
Opir
29 Rabi’
al-Akhir 1434H
Sweileh,
Amman