Saturday, June 15, 2013

Isma Kecewa kenyataan Nik Aziz?

Isma Kecewa Kenyataan Nik Aziz


ust lah

MO,KUALA LUMPUR,30/5/2013 - Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kecewa dengan kenyataan MUrsyidul AM PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkeras tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan UMNO selagi beliau masih hidup.
Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata Nik Aziz sepatutnya memikirkan kepentingan ummah dan tidak sepatutnya terus berkeras dengan pendiriannya itu.

“Menolak usaha perpaduan dikalangan ummah sangat tidak wajar dan merupakan pendirian yang tidak berpihak kepada kepentingan ummah secara keseluruhan.

“Nik Aziz sepatutnya lebih mementingkan perpaduan ummah berbanding kepentingan politik beliau kerana usaha perpaduan dan penyatuan merupakan usul yang terdapat dalam ajaran Islam,” katanya kepada Astro Awani.

Beliau berharap supaya bekas Menteri Besar Kelantan itu melihat semula pandangannya itu dan bersama-sama menjadikan hasrat untuk melihat penyatuan ummah menerusi kerjasama PAS dan UMNO berjaya.

Abdullah Zaik menjelaskan pihaknya juga bersedia menjadi orang tengah untuk memastikan usaha kerjasama antara PAS dan UMNO berjaya dan bersedia memberi penerangan kepada masyarakat kepentingan penyatuan ummah yang harus bermula dengan kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu.
Harakahdaily dalam laporannya menyiarkan kenyataan Nik Aziz yang berkata beliau tidak akan membenarkan sebarang usaha ke arah penyatuan PAS dan Umno selagi beliau masih hidup.

Nik Aziz dilaporkan sebagai berkata PAS adalah milik semua ahlinya dan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli khususnya melalui muktamar.

“Tidak boleh sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan UMNO apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli.

“Saya tidak bagi, selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan UMNO dilakukan,” katanya.

Nik Aziz berkata UMNO sejak awal lagi menolak dasar Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS.

Tambahnya, selain persoalan dasar parti, banyak lagi perkara yang perlu dikaji terhadap kesilapan UMNO dalam perjuangan mereka.

“Untuk itu tidak ada sebab kita ingin bersama mereka dan saya peringatkan pada yang lain jangan ada usaha ini,” ujarnya lagi.

Ini bukan kali pertama, Nik Aziz membuat kenyataan menolak sebarang usaha untuk PAS dan UMNO bekerjasama. Sebelum ini pada tahun 2009, Nik Aziz pernah mencadangkan satu muktamar khas diadakan untuk membincangkan usaha kerjasama dengan UMNO yang didakwa diusahakan oleh bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Md Isa dan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, datuk Dr Hassan Ali.

Bagaimanapun muktamar khas itu tidak diadakan sebaliknya PAS hanya mengadakan konvensyen khas untuk membincangkan perkara tersebut.
Usaha untuk kerjasama antara PAS dan UMNO dikatakan telah bermula beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008. Usaha tersebut dibuat ekoran ada pihak merasakan kedudukan orang Melayu terancam selepas berlaku apa yang dinamakan tsunami politik ketika itu.

Namun usaha itu tidak mendapat persetujuan badan tertinggi PAS iaitu muktamar tahunannya yang jelas menolak kerjasama PAS dan UMNO. – AstroAwani

http://merdeka-online.com/home/isma-kecewa-kenyataan-nik-aziz/